Tuesday, November 28, 2006



Sabah Juara Dikir Barat, Pemuda Rancang Perbanyakkan Lagi Program Seni Budaya
Date: Monday, November 27 @ 02:42:38 MYT
Topic: Berita Terkini


Oleh Yus Iskandar

Bachok -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus memainkan peranan mengerak dan menyemarakkan aktiviti dan program seni budaya bagi memastikan agenda identiti warisan budaya dapat disemai di kalangan generasi muda.

Justeru Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Pemuda UMNO akan memperbanyakkan lagi program kebudayaan agar generasi muda tidak melupakan warisan bangsa tersebut yang sememangnya perlu dipelihara.

Tegas beliau inisiatif seumpama ini penting bagi mengelakkan arus globalisasi menghakis nilai budaya warisan bangsa.

“Kalau kita tidak berhati-hati dengan arus globalisasi ini, kita khuatir penjajahan budaya akan menjadi realiti. Penjajahan bukan berlaku melalui penaklukan ketenteraan sahaja.

“Program dikir barat ini sebenarnya memberi nilai dan makna yang cukup besar kerana menerusi persembahan tersebut turut diselitkan dengan pelbagai mesej positif. Ini menggambarkan perjuangan Pemuda UMNO untuk mempertahankan identiti kita dalam arus globalisasi sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Dikir Barat Pemuda UMNO 2006 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok di sini, Sabtu malam.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim,Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin serta beberapa Exco Pemuda pusat dan kepimpinan Pemuda UMNO negeri.

Menurut Datuk Hishammuddin lagi selain menyemarakkan lag usaha merakyatkan seni dan budaya ke segenap lapisan masyarakat, aktiviti ini yang bermula awal tahun ini dengan Festival Zapin di Johor diikuti Festival Dikir Barat di Kelantan ialah mengeratkan lagi perpaduan dan kesatuan khususnya di kalangan Pemuda UMNO di setiap peringkat.

‘‘Ini sememangnya menjadi hasrat Pemuda dengan kepelbagaian program yang diadakan untuk memperkuatkan lagi perpaduan di kalangan ahli selain mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Usaha kita tidak akan berhenti di sini kerana ada banyak lagi program dan agenda kita bagi memastikan kehadiran Pemuda terus dirasai”, ujarnya.

Festival Dikir Barat ini disertai 12 pasukan Pemuda UMNO negeri-negeri kecuali Pemuda UMNO Kelantan yang akan hanya membuat persembahan khas.

Pada festival Dikir Barat ini, pasukan Pemuda UMNO Sabah sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila dipilih menjadi Juara dan menerima hadiah wang RM5,000 manakala Pemuda UMNO Terengganu naib juara menerima RM3,500 dan tempat ketiga, pasukan Pemuda UMNO Selangor, menerima hadiah RM2,000.

Sebelum ini pada festival Zapin yang diadakan di Johor Bharu pada awal tahun ini pasukan Pemuda UMNO Sabah juga muncul sebagai juara.

Kira-kira 10,000 penonton yang memenuhi dewan pertandingan yang mana pada siang harinya turut diadakan majlis kenduri rakyat.

Penonton pada malam itu telah dihiburkan oleh persembahan Dikir Barat oleh Megat Nordin, adik Alif dan Cikgu Sulizi serta persembahan khas Dikir Barat pasukan Pemuda UMNO Kelantan.

Sementara itu Pengerusi Biro Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azizul Nizam Bidin berkata kesemua pasukan Pemuda UMNO negeri yang bertanding telah menunjukkan komitmen dan mutu persembahan yang cukup membanggakan.

Jelas beliau persembahan yang ditampilkan bukan sahaja menepati konsep yang menekankan amalan budi bahasa tetapi turut berjaya menyampaikan pelbagai mesej yang positif.

“Kesemua pasukan yang bertanding layak mendapat pujian. Mereka bukan sahaja menghiburkan tetapi turut membuktikan seni budaya Dikir Barat mampu dikongsi bersama.

“Kita akan meneruskan program seumpama ini dan memilih seni budaya yang menjadi identiti negeri lain pula untuk dipertandingkan. Yang penting bukan kemenangan semata-mata tetapi usaha kita untuk merakyatkan seni budaya warisan bangsa”, katanya.

0 comments:

Post a Comment